Datuk Azhari Shaari Dilantik Ketua Penerangan Muafakat Nasional Negeri Selangor

Datuk Azhari Shaari Dilantik Ketua Penerangan Muafakat Nasional Negeri Selangor

SHAH ALAM-Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai UMNO dan Pas perlu fokus untuk memperkasa agenda orang Melayu dan umat Islam walaupun Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Ahli Parlimen kedua parti gergasi orang Melayu tersebut membawa agenda yang senada.

Menurut Ketua Penerangan MN Selangor yang baru dilantik, Datuk Azhari Shaari, cabaran utama pada masa kini selain mematahkan hujah Pakatan Harapan (PH) adalah menangani berita palsu yang menyentuh perjuangan MN.

“Terdahulu saya mengucapkan ribuan terimakasih kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas perlantikan saya. Tugas ini bukan mudah kerana di Selangor kita masih pembangkang.

“Perlantikan saya berlaku di saat pergolakan sedang berlaku di dalam blok PH yang kononnya sudah memiliki majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Di saat ini banyak berita palsu berhubung isu politik semasa tersebar hingga MN Selangor juga terkena tempiasnya,”katanya ketika dihubungi Bebas News di sini hari ini.

Azhari dilantik sebagai Ketua Penerangan MN Selangor berkuatkuasa pada 30 Mei lepas.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berkata, selain masalah politiking dalam parti politik tertentu, pihaknya juga sedar negara masih berhadapan dengan penularan Covid-19 yang menjejaskan sosio-ekonomi rakyat.

Katanya, beliau akan segera menggerakkan kempen penerangan untuk memastikan rakyat berasa lebih yakin dengan usaha yang dilakukan oleh pemimpin MN di dalam Kerajaan PN.

“Kita bersama Pas juga telah bekerjasama di dalam beberapa Pilihanraya Kecil (PRK) yang telah banyak kita menang dan akan terus menggerakkan usaha memenangi PRK DUN Chini Julai depan.

“Apa yang pasti MN Selangor juga sedang memperkukuhkan gerakerja bagi merampas Selangor daripada PH. Namun dalam masa yang sama usaha memerangi berita palsu yang mampu menjejaskan MN tidak akan kita ambil mudah,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

shares