Selamat Ulangtahun UMNO Ke-74

Selamat Ulangtahun UMNO Ke-74

Musim hujan yang panjang jangan dirungutkan kerana kemarau yang datang tiba-tiba. Begitulah jua jasa Parti UMNO kepada rakyat negara ini sejak ia mula ditubuhkan 74 tahun lalu pada 11 Mei 1946.

Setelah menjadi tunjang pentadbiran negara sejak tanggal 31 Ogos 1957 hingga 9 Mei 2018, UMNO yang memimpin Barisan Nasional (BN) diuji dengan kekalahan pada Pilihanraya Umum (PRU) 14.

Namun UMNO kembali bangkit di bawah Presiden, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan Muafakat Nasional (MN) bersama Parti Pas untuk terus memperjuangkan agenda Agama, Bangsa dan Tanahair (Abata).

MN membuktikan UMNO bukan berpolitik atas nama individu tetapi untuk memastikan orang Melayu yang beragama Islam terus dihormati hak mereka di bumi Malaysia.

Kini di bawah Perikatan Nasional (PN), UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak bergabung untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Walaupun gabungan PN sedang diuji dengan usaha mengekang Covid-19 sejak dua bulan lalu namun semua aspek pentadbiran dan ekonomi negara tetap diuruskan dengan sempurna.

Dalam masa yang sama, sebagai Kerajaan yang wujud dengan penuh liku-liku, pihak pembangkang mula mengintai semula peluang untuk kembali berkuasa dan ini memberi cabaran baharu kepada pemimpin gabungan PN termasuk pemimpin UMNO untuk memastikan kerajaan yang baru ditubuhkan ini kekal sehingga PRU 15.

Sewajarnya, kita ahli-ahli UMNO memastikan perpaduan ahli tetap kekal utuh bagi memastikan kepimpinan negara hari ini mengekalkan momentum terbaik agar pentadbiran hari ini tidak kembali kepada pihak yang lebih banyak berpolitik daripada mengurus tadbir dengan sempurna.

Buat masa ini kita ahli UMNO berharap kepimpinan PN terus dapat mengekalkan kerjasama antara Ahli Parlimen yang melibatkan pemimpin MN daripada UMNO dan Pas itu sendiri.

Sehubungan dengan norma baharu kesan wabak Covid-19, kita semua harus menganggap PN sebagai sebuah Kerajaan yang berusaha sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua rakyat.

Apa yang pasti peranan pemimpin UMNO terutama Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas dilihat dalam mengurustadbir negara bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.Amin.

Selamat Ulangtahun UMNO ke 74. Dulu, Kini dan Selamanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

shares